Syor pakai pelitup muka, ambil booster

PUTRAJAYA 31 Okt. –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat mengesyorkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak berikutan trend kenaikan jangkitan Covid-19 ketika ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang memakai pelitup muka pada sidang media hari ini juga menyarankan pengambilan suntikan penggalak kedua bagi yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan termasuk yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Booster kedua kadarnya masih rendah, jadi kita harap rakyat Malaysia yang belum terima booster kedua boleh dapatkan. Tidak ada paksaan, hanya ia kemudahan yang kita sediakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Setakat ini hanya 519,839 orang yang mengambil booster kedua dan KKM menggalakkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas, yang ada masalah kesihatan atau sistem imun lemah serta ibu mengandung untuk ambil booster.

Khairy berkata, trend  kenaikan jangkitan Covid-19 ketika ini berada pada tahap sederhana, didorong oleh varian Omicron Subvarian XBB yang sebelum ini menjadi punca kepada gelombang terbaharu di Singapura.

Bagaimanapun peningkatan itu, terkawal dan tidak membimbangkan.

“Subvarian XBB yang jadi punca gelombang di Singapura baru-baru ini dan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk turun… barangkali, kita juga berdepan perkara yang sama.

“Kita kesan empat kes di bawah penjujukan genom oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Saya sudah minta lebih banyak kes penjujukan genom dilaksanakan.

Bilangan penjujukan genom menurun kerana ia sebenarnya hanya dapat dibuat dengan berkesan melalui RT-PCR dan kita tahu tak ramai yang buat TR-PCR sekarang,” katanya

Khairy juga menyeru pemimpin dan parti politik menunjukkan teladan yang baik serta mengamalkan langkah keselamatan yang perlu semasa berkempen.

“Tunjuklah teladan baik, kalau pergi ke kawasan tertutup, ada warga emas atau lawatan rumah ke rumah, jumpa pesakit terlantar, pakai pelitup muka.

“Kalau adakan ceramah di dewan dan dewan pula penuh, parti politik dan penganjur digalakkan buat pengumuman, minta orang ramai pakai pelitup muka.

“Kita tidak mahu PRU15 dijalankan dengan banyak sekatan tetapi kenalah ambil nasihat KKM,” katanya.

Kementerian juga sudah menghantar syor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung langkah keselamatan pada hari mengundi.

Related posts

Leave a Comment