Lawatan kukuh hubungan Malaysia-Turkiye

ISTANBUL 20 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah optimis hubungan dua hala Malaysia – Turkiye akan terus meningkat ke tahap lebih tinggi menjelang 60 tahun hubungan kedua-dua negara pada 2024.

Baginda bertitah, Malaysia dan Turkiye yang bersetuju meningkatkan taraf hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif akan terus kekal kukuh melalui pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara.

“Lawatan Negara ke Turkiye adalah landasan pengukuhan hubungan dua hala dan menjadi pemangkin persahabatan yang terjalin sejak lebih enam dekad lalu.

“Justeru saya berharap hubungan antara Malaysia dengan Turkiye akan terus terpelihara dan dijaga rapi,” titah baginda pada majlis Santapan Malam bersama 100 rakyat Malaysia yang bermastautin di sini malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Majlis Bersama Diaspora Malaysia itu adalah sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari di Turkiye bermula Isnin lalu.

Terdapat hampir 600 warga Malaysia yang kini menetap di seluruh Turkiye membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, golongan profesional dan yang berkahwin dengan warga Turkiye hadir pada majlis itu.

Sementara itu, semalam baginda dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Ijazah Kedoktoran Kehormat itu disampaikan oleh Rektor Universiti Marmara Profesor Dr Mustafa Kurt berdasarkan sumbangan Seri Paduka dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia dalam satu majlis di universiti berkenaan di sini.

Seri Paduka dipersembah dengan persalinan jubah kedoktoran baldu merah bersulam emas beserta sijil dan sebuah plak.

Turut mengiringi baginda menerima penganugerahan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 12.25 tengah hari (waktu tempatan), diiringi Raja Permaisuri Agong,  dan Fuat Oktay disambut oleh Ketua Direktorat Hal Ehwal Agama Turkiye, Prof Dr Ali Erbas.

Imam Masjid Hagia Sophia Bunyamin Topcuoglu menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Youth Heralded With Protection In The Shade Of The Throne.’

Masjid yang berusia lebih 1,500 tahun itu telah disenaraikan sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1985.

Hagia Sophia pernah berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul yang menyaksikan ia ditukar menjadi masjid dari tahun 1453 hingga tahun 1934 sebelum dijadikan muzium pada 1930 hingga 1935.

Related posts

Leave a Comment