PBM mahu kekal 3 Parlimen 5 DUN

AMPANG 20 Ogos – Berapa pun kosnya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap perlu dilaksanakan. Begitulah reaksi kepada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh berhubung anggaran kos RM1 bilion.

Bagi Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin, anggaran itu adalah logik yang antaranya disebabkan penambahan pengundi baharu lebih 40 peratus.

“Sudah tentu SPR perlukan lebih ramai kakitangan, tempat dan sebagainya. Jadi itu adalah punca peningkatan kos untuk mengadakan pilihan raya. Bagaimanapun PRU15 terpaksa kita laksanakan kerana mandat sudah sampai,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, semua penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PBM akan mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU15.

Perkara itu sudah diputuskan PBM supaya setiap calon dapat memberi tumpuan di kawasan mereka.

“Saya sendiri insya-Allah akan kekal bertanding di Ampang. Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha di (DUN) Lembah Jaya; Dr Daroyah Alwi di (DUN) Sementa dan lain-lain lagi,” katanya.

PBM kini memiliki tiga kerusi Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Larry Soon (Julau) dan Steven Choong (Tebrau). Kerusi DUN pula diwakili Haniza di DUN Lembah Jaya, Sementa (Dr Daroyah), Tronoh (Paul Yong Choo Kiong), Malim Nawar (Leong Cheak Keng) dan Buntung (A Sivasubramaniam).

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, PBM kini giat menjalankan jelajah di negeri yang mempunyai wakil rakyat dari parti itu bagi memastikan kemenangan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita semua memberi tumpuan kepada kerusi yang kita menang. Maknanya penyandang kerusi yang kita menang sebab itu kita sekarang buat jelajah ke kerusi yang kita sandang seperti minggu lalu di Perak, minggu ini di Selangor dan minggu depan di Johor.

“Kita tak minta lebih daripada kerusi yang kita sudah sandang. Kita fokus sebab kita orang lama tetapi parti baharu kerana masa agak singkat untuk hadapi pilihan raya. Jadi kita fokus pada kerusi yang kita sudah sandang sahaja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment