Segerakan PRU atau UMNO tewas

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Menjelang setahun Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, UMNO sekali,lagi menyarankan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.

“Segerakanlah atau UMNO, BN (Barisan Nasional) akan tewas PRU,” kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambil menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik untuk ia diadakan.

Melalui Facebook hari ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, berkata tindakan melengahkan PRU bermakna parti itu memberi senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

Disebabkan itu katanya, tidak ada satu pun daripada pemimpin pembangkang yang meminta supaya Parlimen dibubarkan walaupun sering memperlekeh yang kerajaan ketika ini bukan mandat rakyat dan kerajaan pintu belakang.

“Pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin inilah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU. Sudah banyak kali sudah dijelaskan justifikasi.

Apa yang penting, UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum pembubaran Parlimen untuk menyerang BN,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang ketika ini sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO dan BN.

“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat daripada perspektif menyeluruh. Dengan kata lain, mereka serang, ‘spin’ dan kemudian cuba mencetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun PH (Pakatan Harapan) yang berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya, hingga Perdana Menteri mereka sendiri  (Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila Dr Mahathir terpaksa mengakui UMNO mahu PRU15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

Katanya, berdasarkan temu bual dengan sebuah agensi media antarabangsa, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini, pembangkang sudah berpecah-belah dan pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik bagi kerajaan kerana kerajaan sudah bersedia manakala pembangkang pula tidak bersedia.

“UMNO membuat pendirian itu sudah lama pun. Kini, terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya.

Related posts

Leave a Comment