Ingat, hayati sejarah kemerdekaan

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta graduan sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Titah baginda,  penghayatan sejarah adalah penting untuk membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.

“Manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.

“Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Titah baginda, usaha-usaha untuk memupuk identiti nasional dan menanam semangat nasionalisme hendaklah bergerak seiringan dengan usaha untuk menghayati sejarah bumi yang dipijak dan tanah tumpahnya darah kita.

Sementara itu, Seri Paduka menzahirkan pujian kepada UniKL yang mempelopori pelbagai bidang teknologi baharu seperti tenaga lestari, kenderaan elektrik, data besar,Internet Pelbagai Benda (IoT) dan aeroangkasa.

Seri Paduka bertitah UniKL hendaklah terus meneroka bidang-bidang baharu demi membina keupayaan masa depan masyarakat dan negara sehingga melonjakkan negara setanding negara maju yang lain

Terdahulu, pada majlis sama Seri Paduka turut memasyhurkan Mahdzir dan Azizah sebagai Pro-Canselor baharu UniKL dan berkenan mengurniakan watikah pelantikan jawatan itu kepada kedua-duanya.

Sebanyak 10,547 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh selama dua tahun. Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula hari ini hingga 17 Ogos.

Related posts

Leave a Comment