IPOH 11 Ogos – Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sedang mempertimbangkan cadangan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, cadangan berkenaan ada diusulkan kepadanya namun keputusan belum boleh dibuat.
Katanya, fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.
“Anda fikir macam mana? Kalau anda kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan.
PKR Cabang Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, dilaporkan sedia memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15 dan dipersetujui akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.
Mengenai kerusi dan calon PKR Perak untuk PRU-15, Anwar berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden.
Terdahulu, beliau mengumumkan mesyuarat hari ini bersetuju melantik Ahli Parlimen Tanjung Malim yang juga Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang sebagai Pengerusi MPN Perak bagi penggal 2022 hingga 2025.
