Hadi hanya jawab lima soalan

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, hanya menjawab lima daripada 24 soalan yang dikemukakan ketika proses rakaman percakapan manakala selebihnya beliau memilih untuk menjawab di mahkamah.

Sesi rakaman percakapan itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas di Bakri, Muar, Johor, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara,  Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sesi soal siasat oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dibuat di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, di sini,

“Abdul Hadi memaklumkan kepada pegawai penyiasat USJT bahawa beliau akan memberi jawapan terhadap baki 24 soalan yang diajukan di mahkamah.

Beliau disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes berkaitan 3R (Insitusi Diraja, Agama dan Bangsa), tempoh siasatan oleh polis adalah dalam masa seminggu sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

“Keputusan sama ada beliau (Abdul Hadi) akan dituduh di mahkamah atau tidak adalah bergantung kepada penilaian pejabat Peguam Negara dan kami Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya melaksanakan tugas menyiasat dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment