Kematian cacar monyet dijangka meningkat

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah menjangkakan lebih banyak kes kematian akibat cacar monyet ekoran laporan kematian pertama di luar Afrika, kata Pegawai kecemasan kanan WHO Eropah, Catherine Smallwood.

Beliau menjangkakan situasi itu susulan penularan cacar monyet berterusan di Eropah.

Menurut beliau, matlamatnya perlu mengganggu penularan pantas di Eropah dan menghentikan wabak itu selain menjelaskan, kebanyakan kes penyakit itu sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan.

Kementerian Kesihatan Sepanyol merekodkan kes kematian kedua cacar monyet pada Sabtu, sehari selepas Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertamanya.

Pengumuman itu menandakan kematian pertama dikaitkan dengan penularan di luar Afrika.

Berdasarkan WHO, lebih 18,000 kes dikesan di seluruh dunia sejak awal Mei lalu, dengan majoritinya di Eropah, selain mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, minggu lalu.

Ketika kes meningkat di seluruh dunia, WHO Rabu lalu, meminta kumpulan paling terjejas oleh virus itu, iaitu golongan homoseksual untuk mengehadkan pasangan seksual mereka.

Related posts

Leave a Comment