30 projek RM100 juta ditangguh

KUALA LUMPUR 21 Julai – Sebanyak 30 projek bernilai kira-kira RM100 juta daripada 7,243 projek pembangunan yang diluluskan tahun ini diputuskan untuk ditangguhkan, dalam usaha melaksanakan langkah penjimatan, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed,

Beliau berkata kriteria projek yang ditangguhkan itu adalah projek baharu dan sedia ada, yang belum dimulakan proses perolehan serta belum diiklankan.

Menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata, selain  itu, projek bukan keutamaan yang dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat serta projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

Mustapa berkata, Kementerian Kewangan; Kementerian Kerja Raya; Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (EPU) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengadakan sesi libat urus dengan semua kementerian dan jabatan sebelum keputusan muktamad mengenai projek yang akan ditangguhkan dilaksanakan.

“Sesi libat urus ini akan berterusan minggu depan. Kita akan adakan pertemuan dengan semua kementerian untuk pastikan mana-mana yang perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat diteruskan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya mengenai jumlah projek yang sudah diputuskan untuk ditangguhkan daripada 7,243 projek pembangunan bernilai RM75.6 bilion yang diluluskan untuk pelaksanaan bagi tahun ini.

Related posts

Leave a Comment