Kes harian Malaysia lepasi 5,000

PUTRAJAYA 21 Julai – Kes harian Covid-19 di negara ini kembali mencatatkan peningkatan dengan merekodkan 5,685 kes setakat tengah malam tadi berbanding 3,902 kes sehari sebelumnya.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, jumlah jangkitan baharu itu membabitkan 5,683 kes penularan tempatan dengan dua kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan, jumlah kumulatif kes penularan wabak berkenaan di negara ini meningkat kepada 4,635,648 kes.

Sebanyak lapan kematian direkodkan dengan lima kes meninggal dunia diluar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan angka korban akibat jangkitan berkenaan ialah 35,878 kes.

Daripada jumlah itu sebanyak 7,614 kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan

Sementara itu, pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 45,484 kes yang masih aktif. Daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 96.4 peratus atau 43,858 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selebihnya iaitu 3.4 peratus bersamaan 1,531 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (39), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (35) dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (21).

Setakat tengah malam tadi, sebanyak 3,337 kes sembuh dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah individu pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,554,286 kes.

Mengenai kadar penggunaan ICU di seluruh negara, data menunjukkan sehingga kini ia berada di paras 63.1 peratus dengan lapan negeri mencatatkan penggunaan unit berkenaan melebihi 60 peratus.

Selangor mencatatkan penggunaan ICU paling tinggi pada kadar 78.1 peratus, diikuti Kelantan dengan 74.1 peratus, Kedah (73.4 peratus), Johor (71.2), Putrajaya (70 peratus) dan Kuala Lumpur (69.6 peratus).

Diikuti Sabah mencatatkan penggunaan sebanyak 67.4 peratus, Negeri Sembilan (65.3 peratus).

Selangor juga merekodkan kes harian tertinggi iaitu 2,024 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1,834 manakala kes terendah dicatatkan Perlis dengan lapan kesdan Wilayah Persekutuan Labuan 15.

Related posts

Leave a Comment