HANOI: Obor Sukan SEA 2021 dipadamkan malam ini, tanda berakhirnya temasya dan bendera kejohanan diturunkan sebelum diserahkan kepada wakil tuan rumah Sukan SEA Kemboja tahun depan.
Sukan SEA 2021 melabuhkan tirai secara rasmi dalam satu acara penuh meriah dan warna-warni di Gimnasium Tertutup Hanoi, di sini.
Dengan bertemakan ‘Gather to shine’ majlis dimulakan dengan persembahan nyanyian penyanyi tempatan Dong Hung, Khanh Linh, Bao Tram dan Pham Anh Duy.
Tuan rumah turut memberi penghargaan kepada atlet olahraga terbaiknya, Nguyen Thi Oanh selepas melakar hatrik dalam acara 1,500 meter (m), 3,000m dan 5,000m.
Majlis penutupan itu diikuti ucapan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan serta Ketua Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-31, Nguyen Van Hung yang memberi penghargaan kepada 11 kontinjen yang bertanding di temasya ini
Pada majlis penutup itu, tarian LED dipersembahkan oleh pasukan tarian 218 iaitu finalis Asia’s Got Talent dengan menggabungkan teknologi pencahayaan dan tarian baharu bagi menghiburkan kontinjen.
Akhir sekali, 11 bendera negara yang menyertai Sukan SEA turut dipersembahkan bagi menandakan penamatnya selepas diadakan dengan penuh meriah
Pada edisi kali ini, Vietnam muncul juara keseluruhan dengan mengutip 205 emas, 125 perak dan 116 gangsa.
Ia kali terakhir muncul juara ketika menjadi tuan rumah pada 2003.
Kontinjen negara pula berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas selepas mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa sekali gus berada di kedudukan keenam keseluruhan.
