Ancaman tidak dipandang ringan

SINGAPURA 23 Mei – Ada pihak yang didakwa mengancam untuk melancarkan serangan serupa 9/11 ke atas Singapura susulan tindakan pihak berkuasa menghalang pendakwah Indonesia memasuki negara ini pada 16 Mei lalu.

Ancaman melalui Instagram itu menamakan Presiden dan Perdana Menteri dengan menyifatkan Singapura “negara Islamofobik” dan para pemimpinnya mempunyai 48 jam untuk meminta maaf kepada masyarakat Muslim dan penduduk Indonesia.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata, pengguna Instagram itu juga mengancam untuk mengusir Duta Besar Singapura ke Indonesia.

Di samping itu, instagram juga menyebut akan menghantar para penyokong termasuk kumpulan tegar Front Pembela Islam untuk menyerang Singapura “seperti serangan 9/11 di New York pada 2001” jika tuntutan mereka tidak diendahkan.

“Persamaan dibuat dengan serangan 9/11, rakyat Singapura mempunyai pemimpin bukan Islam dan rakyat Singapura patut diserang, kepentingan mereka patut diserang. Jadi saya tidak memandang ringan komen-komen itu,” kata Shanmugam.

Baru-baru ini, Abdul Somad Batubara dan enam lagi  yang datang bersamanya tiba di Terminal Feri Tanah Merah pada 16 Mei tetapi dilarang masuk dan dihantar pulang semula ke Batam.

Shanmugam menarik perhatian bahawa Singapura mengambil pendekatan “toleransi sifar” dan pendekatan “saksama” terhadap sebarang bentuk ucapan kebencian dan ideologi yang memecahbelahkan.

“Ia tidak ditujukan kepada individu, agama atau warganegara tertentu. Kedudukan kami serupa untuk semua.” katanya.

Beliau memberi contoh pendakwah asing termasuk pendakwah Amerika Lou Engle dan dua lagi pendakwah Kristian asing yang dilarang berdakwah di Singapura kerana mereka membuat komen-komen yang menghina agama lain termasuk Islam dan Buddha.

Awal bulan ini, Singapura juga mengumumkan bahawa ia sudahpun mengharamkan filem mengenai penghijrahan penganut Hindu dari wilayah Kashmir yang dipertikaikan yang majoritinya Islam kerana memberi gambaran provokatif terhadap umat Islam.

“Ramai orang di India mengkritik kami kerana mengharamkan filem itu, tetapi saya tidak akan memohon maaf atas pendekatan kami,” kata Shanmugam.

Menjawab pertanyaan pihak media sama ada rakyat Singapura perlu bimbang, Shanmugam berkata ugutan sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

Related posts

Leave a Comment