PKR 20 Amanah 20 DAP 16

JOHOR BAHRU 27 Jan. – PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata keputusan berkenaan dimuktamadkan kelmarin manakala calon yang akan bertanding masih dalam proses akhir dimuktamad dan disahkan.

Katanya, ketiga-tiga parti akan berbincang semula bagi memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Keputusan parti lain bersama PH pada PRN Johor ini akan kita muktamadkan sehari dua ini juga. PH Johor akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan,” katanya selepas sarapan pagi bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi PH pada PRN Johor, Mohamad berkata, 20 kerusi PKR dan Amanah membabitkan kawasan campuran serta majoriti kaum.

“DAP pula bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum,” katanya.

Mengulas saranan sesetengah pihak supaya PH bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor, Mohamad berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan setakat ini.

Dalam pada itu, keputusan Majlis Presiden PH membenarkan penggunaan dua logo iaitu membabitkan logo PKR serta logo PH pada PRN Johor, tidak menimbulkan masalah terhadap gabungan itu.

“Perlu diingat, pembangkang menggunakan logo berbeza pada Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1990 lagi dan hanya menggunakan logo yang sama pada PRU14 lalu.

Pengundi sekarang sudah bijak dan bagi kita, ia bukan satu masalah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment