Kes di Singapura meningkat 2,478

SINGAPURA 1 Okt. – Sebanyak 2,478 kes baharu Covid-19 direkodkan dan dua lagi meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 96,521 kes dan 95 kematian.

Ini merupakan peningkatan kes harian yang tertinggi di Singapura selepas 2,268 yang direkodkan semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan ( MoH), dua lagi wanita warga emas meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, penduduk tetap berusia 79 tahun dan warga Singapura berusia 87 tahun – belum divaksin terhadap Covid-19.

Kedua-dua mereka mempunyai pelbagai penyakit sedia ada dan sepanjang September,  40 kematian dicatatkan.

Daripada 2,478 kes baharu Covid-19 itu, sebanyak 2,022 adalah kes dalam masyarakat manakala 452 lagi adalah penghuni asrama pekerja asing dan empat adalah kes import.

Antara kes tempatan semalam termasuk 535 warga emas berusia lebih 60 tahun.

Menurut MoH, tiga daripada empat kes import dikesan semasa tiba di Singapura dan baki satu itu mula jatuh sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Sementara itu, seramai 1,360 pesakit sedang berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan dipantau.

Dalam kalangan mereka termasuk 204 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 34 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Antara mereka yang sakit teruk, 197 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, jumlah kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.1 peratus.

Dalam tempoh yang sama, 443 kes memerlukan sokongan oksigen dan 52 berada di ICU.

Daripada jumlah tersebut, 49.9 peratus sudah lengkap divaksin dan 50.1 peratus belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

Ketika ini terdapat 15 kluster besar yang aktif termasuk enam asrama pekerja asing dan rumah jagaan.

Related posts

Leave a Comment