Ketua Bersatu Tebrau keluar parti

JOHOR BAHRU 27 Jan. – Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini, meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, berkata, setakat ini beliau tidak menyertai mana-mana parti namun menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.

Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Tebrau.

“Saya juga mengambil pendirian menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, untuk memimpin semula Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, ia termasuk kepimpinan yang diyakini dan berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir Johor dengan baik.

“Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir Johor.

“Saya juga menyeru semua ahli dan penyokong Bersatu bermuhasabah diri serta menyokong kepemimpinan Hasni dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment