LONDON: Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan beberapa langkah baharu bagi membendung penyebaran varian Omicron selepas United Kingdom (UK) melaporkan kes pertama varian baharu itu.
Langkah tersebut termasuk mereka yang tiba di negara itu perlu mengambil ujian PCR dalam tempoh dua hari selepas ketibaan mereka serta mengasihgkan diri sehingga hasil ujian diperoleh manakala kontak rapat bagi kes yang disyaki varian Omicron perlu mengasingkan diri selama 10 hari.
Di samping itu pelitup muka dan hidung juga diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan premis kedai kecuali di pub dan restoran.
Kerajaan UK juga akan meningkatkan kempen dos penggalak ketika kajian sama ada vaksin Covid-19 yang diluluskan pada masa ini dapat mengatasi varian baharu tersebut.
Johnson pada sidang medianya berkata Setiausaha Kesihatan telah meminta Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) untuk meluaskan kumpulan yang layak menerima suntikan penggalak.
Jawatankuasa itu diminta menyemak sama ada vaksin penggalak perlu dilanjutkan kepada bawah 40-an dan sama ada jurang antara dos kedua dan ketiga perlu dikurangkan daripada enam bulan.