PUTRAJAYA 31 Okt. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 44 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi
menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 28,876 kes.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, angka itu adalah 1.17 peratus daripada 2,461,351 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini dan empat daripada 44 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.
Sementara itu, terdapat 69,153 kes aktif Covid-19 di seluruh negara yang mana 53,990 individu atau 78.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 9,162 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 5,431 kes dirawat di hospital dan 570 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 277 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 293 lagi memerlukan mesin ventilator.
