Haji : 57 laporan, kerugian RM2.37 juta

KUALA LUMPUR 9 Julai – Polis menerima 57 laporan polis di seluruh negara berkaitan insiden 380 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini, semalam.

Ketua Setiausaha Polis Malaysia, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kesemua laporan polis itu membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM2.37 juta.

Sebanyak 25 laporan polis diterima di Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM620,000, manakala 23 lagi laporan polis diterima di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM766,500.

“Empat lagi laporan polis diterima di negeri Pahang membabitkan kerugian berjumlah RM874,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis juga diterima masing-masing satu di Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) serta satu laporan di Johor.

Sebelum itu, polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan serta isterinya bagi membantu siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, dipetik berkata tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam tadi di beberapa lokasi sektitar ibu negara.

Katanya, tangkapan membabitkan dua lelaki dan tiga wanita termasuk sepasang suami isteri berusia antara 30 hingga 60 tahun.

“Mereka terdiri daripada pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di pejabat agensi pelancongan terbabit di Danau Kota, Setapak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment