Pasukan petugas G20 hadapi wabak

ROM: Kumpulan G20 mewujudkan satu pasukan petugas khas yang akan meneroka pilihan untuk menggerakkan dana dalam meningkatkan kesiapsiagaan, pencegahan dan tindak balas wabak.

Pada masa yang sama, Menteri Kewangan dan Kesihatan dari 20 ekonomi terbesar dunia itu akan mengambil tindakan bagi memastikan 70 peratus penduduk dunia mendapat vaksin Covid-19 menjelang pertengahan 2022.,

Bagi mencapai matlamat vaksinasi sekurang-kurangya 40 peratus penduduk dunia menjelang akhir 2021 dan 70 peratus pada pertengahan 2022, G20 akan membantu meningkatkan bekalan vaksin dan produk perubatan penting serta input di negara membangun.

Matlamat sebelum ini adalah kadar vaksinasi penduduk dunia dicapai menjelang musim luruh pada tahun depan.

Dalam satu kenyataan kumpulan itu, pasukan petugas bersama kewangan-kesihatan G20 ditubuhkan untuk meningkatkan dialog dan kerjasama global mengenai isu berkaitan pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak.

Ini termasuk pertukaran pengalaman dan amalan terbaik, membangunkan aturan penyelarasan antara kementerian kewangan dan kesihatan, menggalakkan tindakan kolektif, menilai dan menangani kecemasan kesihatan dengan impak rentas sempadan serta menggalakkan pengawasan sumber yang berkesan.

Para menteri berkata mereka menubuhkan badan baharu itu kerana pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan ketara dalam keupayaan dunia untuk menyelaraskan tindak balasnya.

Mereka berjanji untuk menyokong “semua usaha kolaboratif” untuk menyediakan akses kepada vaksin, rawatan, diagnostik dan peralatan perlindungan diri yang selamat, berpatutan, berkualiti dan berkesan, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Para menteri juga menyeru untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui hab pemindahan teknologi sukarela, seperti hab MRNA yang baharu ditubuhkan di Afrika Selatan, Argentina dan Brazil, dan melalui perjanjian pengeluaran dan pemprosesan bersama.

(foto fb Jokowi)

Related posts

Leave a Comment