PUTRAJAYA 29 Ogos – Kes jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan hari ini iaitu 20,579 berbanding 22,597 semalam sekaligus merekodkan enam hari berturut-turut jumlah kes melepasi 20.000, sejak 24 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan ini jumlah kumulatif kes kini 1,706,089 dengan kes aktif 267,997.
Tujuh kes import melibatkan empat warganegara dan tiga bukan warganegara manakala daripada 20,572 kes tempatan, sebanyak 17,106 warganegara dan 3,466 bukan warganegara.
Daripada 20,579 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 455 kes (2.2 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.
Manakala sebanyak 20,124 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.
Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
Secara keseluruhan, 15,651 kes (76.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Sementara itu, sebanyak 285 kematian direkodkan pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kini ialah 16,087 kematian.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 kes kematian merupakan Brought In Dead (BID) melibatkan 30 warganegara dan 21 bukan warganegara.
Selangor merekodkan 110 kes, 50 di Johor, 46 di Sabah, 22 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 16 di Pulau Pinang, lapan kes di Perak, masing-masing tujuh kes di Terengganu dan Kelantan, lima di Kedah, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Pahang, serta masing-masing dua di Perlis, Melaka, dan Sarawak.
Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,009 dengan 477 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes sembuh pula merekodkan angka memberangsangkan dengan 20,845 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 1,422,005.
