Bincang peralihan fasa di Lembah Klang

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 akan membincangkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang berikutan kadar vaksinasinya melebihi keperluan imuniti kelompok.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata dos pertama membabitkan 6,824,193 dos, iaitu bersamaan 110.7 peratus melebihi penduduk Kuala Lumpur dan dos kedua iaitu dos lengkap, seramai 5,518,094 iaitu 89.5 peratus sudah menerimanya.

“Kalau sudah 89.5 peratus, mungkin boleh berpindah ke fasa seterusnya kerana dari segi vaksin sudah melebihi keperluan imuniti kelompok,” katanya selepas menyaksikan pemberian vaksin AstraZeneca dos kesejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 12,342,247 dos pertama dan kedua sudah diberikan kepada warga Lembah Klang setakat semalam.

Selain Lembah Klang, kerajaan juga akan melihat keperluan negeri lain supaya dapat beralih ke fasa PPN seterusnya berdasarkan kadar vaksinasi.

Mengulas lanjut mengenai program vaksinasi, Perdana Menteri berkata, kawasan pedalaman juga memerlukan pemberian vaksin yang segera dan lebih 200,000 dos vaksin jenis CanSino sudah dihantar ke kawasan pedalaman di Sabah.

“Kita tidak mahu menyusahkan penduduk kawasan pedalaman dan kita hantar vaksin CanSino yang memerlukan suntikan satu dos, iaitu sama seperti suntikan dua dos ke sana.

“Bukan sahaja CanSino tetapi Sinovac juga akan dihantar. Jika CanSino diberikan kepada penduduk pedalaman, Sinovac pula diberikan mereka yang tinggal di bandar,” katanya.

Ditanya mengenai pendekatan lain selain vaksin bagi mengurangkan angka jangkitan Covid-19, Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius beberapa perkara termasuk kawasan yang mempunyai jangkitan yang rendah tetapi berisiko disebabkan adanya aktiviti rentas negeri dari negeri berhampiran.

“Sebagai contoh Perlis, walaupun mempunyai kes jangkitan yang menurun tetapi berlaku aktiviti rentas negeri dari Kedah.

“Begitu juga di Labuan yang kini penduduknya sudah 90 peratus menerima dua dos suntikan vaksin tetapi ada yang datang dari Sabah. Kita tahu di Sabah, jangkitan masih lagi tinggi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment