KANGAR 18 Julai – Individu merentas negeri, termasuk mereka yang berulang alik bekerja setiap hari, tidak dibenarkan solat sunat Aidiladha di Perlis pada Selasa ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, larangan itu turut membabitkan ahli keluarga dan individu tinggal bersama mereka, kecuali mereka yang melengkapkan dos vaksin Covid-19.
“Pengurusan masjid berhak menegur dan tidak membenarkan kemasukan jemaah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Pengerusi MAIPS, bertitah bagi kariah Kota Raja Arau, solat sunat Aidiladha akan didirikan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8 pagi untuk sesi pertama
Baginda bertitah, sesi kedua solat pula pada pukul 9 pagi di pekarangan Masjid Negeri Arau jika bilangan jemaah ramai.
“Jika cuaca tidak mengizinkan, maka satu sesi solat saja didirikan di masjid berdasarkan kapasiti maksimum dengan penjagaan SOP ketat pada pukul 8.30 pagi,” titah baginda.
