Maybank, Mercy salur RM14 juta

KUALA LUMPUR 18 Julai – Mercy Malaysia dan Maybank akan menyalurkan RM14 juta  bagi meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), bermula minggu keempat bulan ini.

Pengerusi Maybank Zamzamzairani Mohd Isa dalam kenyataan bersama berkata, bantuan itu berikutan keperluan yang sangat mendesak di kedua-dua hospital ini.

Katanya, program ini akan dijalankan dalam jangka masa 20 minggu melalui pendekatan tiga serangkai meliputi penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan, mobilisasi sumber manusia dan latihan teknikal, termasuk sokongan kesihatan  mental dan psikososial.

“Ini akan membolehkan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5 meningkat sebanyak 6 unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit Covid-19, masing-masing di dua hospital ini.

“Pada masa sama, sejumlah 40 pekerja kesihatan dan staf sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL, untuk berkhidmat di wad Covid-19 dan wad biasa. Ini membolehkan Jabatan Pesakit Luar hospital dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit,” jelas beliau.

Bantuan turut merangkumi hampir 4,000 peralatan perubatan dan sokongan seperti alat ujian tekanan darah, mesin ECG dan jantung, meter aliran oksigen, alat kawalan ritma jantung (defibrillator), ventilator, pemekat oksigen, alatan penting untuk rawatan kritikal dan katil ICU.

Zamzamzairani berkata, memandangkan terdapat cabaran kapasiti yang sangat besar di HTAR, Maybank juga akan mewujudkan hospital sementara di sana bersama pemberian latihan teknikal kepada kakitangan, untuk meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit Covid-19.

Sementara itu Presiden Mercy Malaysia Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata, sumbangan terbaharu itu mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak yang terjalin sejak 2014.

“Momentum tindak balas Covid-19 untuk Malaysia telah mencapai puncaknya. Oleh itu, ia memerlukan persiapaan strategik, tindakan budi bicara dan penglibatan yang mampan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment