NEW YORK – Kehadiran pasukan pengaman di Lubnan perlu dikekalkan selepas ‘mandat misi semasa’ berakhir pada penghujung tahun ini, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres,
Guterres dalam laporan kepada Majlis Keselamatan mengemukakan tiga pilihan membabitkan antara hampir 2,000 hingga lebih 5,500 anggota PBB bagi memantau gencatan senjata serta menyokong Angkatan Tentera Lubnan.
Di bawah semua pilihan yang dicadangkan, kehadiran anggota beruniform PBB yang berperanan memudah cara usaha meredakan ketegangan, dialog, perhubungan dan penyelarasan, serta menyokong Angkatan Tentera Lubnan adalah perlu ke arah mencapai matlamat utama penyelesaian jangka panjang konflik ini.
Kebimbangan mengenai pengunduran Pasukan Interim PBB (UNIFIL) di Lubnan muncul ketika tentera Israel masih menduduki kawasan sempadan selatan Lubnan, selain Israel dan Lubnan yang kini sedang mengadakan rundingan secara langsung bagi menamatkan permusuhan yang berlarutan selama beberapa dekad.
Ketika ini, UNIFIL mempunyai kira-kira 7,500 anggota pengaman yang ditempatkan di selatan Lubnan berhampiran Garisan Biru, iaitu sempadan de facto sepanjang 120 kilometer antara Lubnan dan Israel, yang kini menjadi kawasan konflik dalam perang Israel-Hizbullah.
