Kasut itu pemberian Sultan Johor

PUTRAJAYA 30 Nov. – Sepasang kasut kulit hitam yang dipakai, Anwar Ibrahim yang tular semalam adalah pemberian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Perdana Menteri menerusi Twitter berkata kasut terbabit diberi Tuanku Sultan Johor dua tahun lalu.

“Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,” kata Anwar bagi menjawab satu ciapan menggunakan akaun Naratif Rakyat.

Ciapan itu secara sinis membuat sindiran keputusan Anwar menolak penggunaan kereta jenis Mercedes S600 dan gaya pemakaian capalnya, namun hari ini memakai kasut kulit berjenama Louis Vuitton berharga lebih RM5,500.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, kisah Anwar itu terus menjadi perhatian rakyat termasuklah gaya pemakaiannya yang mengenakan capal ketika memulakan tugas rasmi di Pejabat Perdana Menteri.

Anwar juga menolak daripada menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Related posts

Leave a Comment