Israel, Hezbollah capai persefahaman

WASHINGTON – Israel dan kumpulan Hezbollah di Lubnan mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan terhadap satu sama lain, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Menerusi platform media sosial Truth Social, Trump berkata beliau mengadakan “perbualan yang sangat produktif” dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menerima jaminan bahawa Tel Aviv tidak akan menghantar tentera ke ibu negara Lubnan, Beirut.

“Tiada tentera akan dihantar ke Beirut, dan mana-mana tentera yang sedang dalam perjalanan sudah diarahkan berpatah balik,” kata Trump yang menerusi perantara kanan, telah berhubung dengan Hezbollah dan memperoleh komitmen untuk menghentikan permusuhan.

Menurut Trump menerusi wakil peringkat tinggi, beliau mengadakan perbualan yang sangat baik dengan Hezbollah, dan mereka bersetuju bahawa semua tembakan akan dihentikan, bermakna Israel tidak akan menyerang mereka, dan mereka tidak akan menyerang Israel.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan meskipun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 17 April dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan tidak langsung dengan pengantaraan AS.

Serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan lebih 3,400 orang di seluruh negara itu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Sementara itu, menurut kenyataan Kedutaan Lubnan di Washington, Hezbollah bersetuju dengan cadangan AS untuk menghentikan serangan secara timbal balik dengan Israel.

Menurut kenyataan itu, selepas perbualan antara Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, pihak berkuasa Lubnan menerima pengesahan bahawa Hezbollah telah bersetuju dengan cadangan yang disokong AS itu.

Di bawah perjanjian berkenaan, serangan Israel di pinggir selatan Beirut akan dihentikan sebagai balasan kepada tindakan Hezbollah yang tidak melancarkan serangan terhadap Israel. 

Gencatan senjata itu kemudiannya akan diperluas ke seluruh wilayah Lubnan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment