Kekal melebihi 5,000 kes harian

PUTRAJAYA 25 Jun – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini kekal melebihi 5,000 kes untuk tempoh tiga hari berturut-turut dengan merekodkan 5,812 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 722,659 kes.

Semalam, Malaysia merekodkan 5,841 kes dan sebelum itu 5,244.

Kes baharu hari ini melibatkan 5,780 kes tempatan yang meliputi 4,214 warganegara dan 1,566 bukan warganegara manakala kes import pula sebanyak 32 orang iaitu 17 warganegara dan 15 bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan jumlah kematian pula 82 orang iaitu 71 warganegara dan 11 bukan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan 4,083 orang.

Selangor merekodkan 31 kematian diikuti 18 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lapan di Johor, lima  di Negeri  Sembilan, empat di Sarawak, masing-masing tiga di Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, dan Kedah, masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu  di Sabah, Perak, dan Melaka.

Sementara itu, sebanyak 6,775 kes sembuh dilaporkan yang membawa kepada jumlah kumulatif 657,739 kes (91.02%) sementara kes aktif sebanyak 60,117.

Sebanyak 870 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 433 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment