PETALING JAYA 2 Jun – Sikap degil tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membawa padah apabila penyelia kilang dan lapan pekerja dikompaun kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.
Penyelia kilang plastik, wanita tempatan berusia 41 tahun dikompaun RM10,000 sementara lapan pekerja kilang di Taman Medan, Petaling Jaya itu masing-masing dikompaun RM2,000 di bawah kesalahan sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata serbuan dilakukan pukul 10.45 malam Selasa.
Wanita itu dikompaun di bawah Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 2021.
“Pekerja yang terdiri daripada tujuh wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 69 tahun itu turut dikenakan kompaun bawah peraturan sama,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook .
Mohamad Fakhrudin mengingatkan kepada semua sektor perindustrian yang telah dibenarkan beroperasi untuk mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh ‘total lockdown’.
