Vaksin Pfizer sesuai untuk remaja

PFIZER-BIONTECH mengumumkan bahawa vaksinnya 100 peratus berkesan terhadap koronavirus dalam kalangan remaja berusia 12 dengan 15 tahun, ketika ia berusaha mendapatkan kelulusan vaksinnya sebelum penggal persekolahan baharu .

Dalam satu kenyataan, Pfizer memaklumkan uji kaji fasa ketiga yang dijalankan ke atas 2,260 remaja di Amerika Syarikat “menunjukkan keberkesanan 100 peratus dan respons antibodi menyeluruh.

Susulan hasil uji kaji itu, Ketua Eksekutif Pfizer Albert Bourla berkata, pihaknya merancang untuk menyerahkan data ini kepada FDA (pengawal selia Amerika Syarikat) sebagai cadangan pindaan terhadap Kelulusan bagi Kegunaan Darurat.

Beliau berharap dapat melakukannya  dalam masa beberapa minggu akan datang, dengan harapan dapat menjalankan vaksinasi bagi kumpulan usia ini sebelum penggal persekolahan seterusnya bermula.

Suntikan vaksin BioNTech-Pfizer adalah berdasarkan teknologi baru mRNA dan merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan di negara-negara Barat pada lewat tahun lalu.

Kedua-dua Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah meluluskan penggunaannya bagi individu berusia 16 tahun dan ke atas.

Sejak itu, jutaan orang dewasa di lebih 65 negara sudahpun disuntik dengan vaksin itu.

Related posts

Leave a Comment