PM kecam penahanan kapal FFC

KUALA LUMPUR 8 Okt.  – Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa itu mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, beliau menegaskan penahanan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan perlu dihentikan segera.

“Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera dan diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, kerajaan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut dan akan menghubungi negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah pembebasan mereka dengan secepat mungkin.

Sembilan rakyat Malaysia itu ditahan oleh tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) gelombang ketiga ke Gaza dipintas pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan aktivis negara yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Turut sama, pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

(Foto Fb PMX)

Related posts

Leave a Comment