Vaksinasi tidak batal puasa

KUALA LUMPUR 19 Mac – Masyarakat Islam di Malaysia, Singapura dan Indonesia tidak perlu bimbang jika terpaksa menerima suntikan vaksin Covid-19 sepanjang bulan Ramadan ini kerana vaksinasi tidak membatalkan puasa.

Penjelasan itu dibuat oleh Mufti Kelantan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Ulama Indonesia (MUI) bagi menjawab persoalan dan kemusykilan orang ramai berhubung vaksinasi pada bulan Ramadan akan datang.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, berkata mana-mana suntikan tidak membatalkan puasa kerana bukan membabitkan rongga terbuka.

Malah, katanya, ujian calitan dalam hidung atau mulut juga tidak membatalkan puasa seseorang.

“Mungkin ada yang risau jika giliran suntikan jatuh ketika Ramadan, namun ingin diingatkan semua suntikan berkenaan tidak membatalkan puasa. Jika sampai ke halkum barulah puasa itu dikira terbatal,” katanya baru-baru ini.

Pandangan itu juga selari dengan kenyataan MUIS yang menjelaskan persoalan itu melalui infografik yang dimuat naik di Facebook badan tersebut.

MUIS dalam penjelasannya berkata suntikan vaksin tidak membatalkan puasa “kerana ia bukan membabitkan rongga terbuka mahupun jenis makanan dan minuman yang bertujuan menyegarkan atau mengenyangkan”.

Ujian swab dalam hidung juga tidak membatalkan puasa seseorang.

Pejabat Mufti menerima beberapa pertanyaan mengenai pengambilan suntikan vaksin Covid-19 dan ujian swab sepanjang Ramadan.

Justeru MUIS menggalakkan mereka yang layak supaya mendapatkan suntikan secepat mungkin tanpa perlu menunggu selepas Ramadan untuk berbuat demikian. 

Sementara itu di Jakarta, MUI juga mengeluarkan fatwa yang sama berhubung pengambilan vaksin pada bulan Ramadan.

Fatwa MUI memutuskan bahawa vaksinasi Covid-19 yang disuntikkan melalui intramoskuler tidak membatalkan ibadah puasa yang dijalankan.

 MUI berharap fatwa itu dapat meyakinkan umat Islam di negara itu supaya tidak merasa ragu untuk menyertai program vaksinasi Covid-19.

Umat Islam wajib mengambil bahagian dalam program vaksinasi nasional, yang dilaksanakan pemerintah untuk mewujudkan kekebalan komuniti dan juga sebagai bentuk ikhtiar untuk melindungi diri dan bebas dari Covid-19.

Related posts

Leave a Comment