PKR ‘hilang’ dua kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Politik Malaysia terus diwarnai keluar masuk parti atau popular dengan istilah lompat parti apabila dua ahli Parlimen PKR keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Julau Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau, Johor Steven Choong tidak menyertai mana-mana parti sebaliknya menjadi ahli Parlimen Bebas.

Kedua-dua ahli Parlimen itu bertemu Muhyiddin hari ini untuk menyatakan keputusan mereka.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan, termasuk Mohamad Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah, tiga bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti untuk menyertai Kabinet Muhyiddin.

Berikutan keputusan itu, jumlah kerusi PKR di Dewan Rakyat berkurangan kepada 36, setahun selepas sekumpulan ahli Parlimen yang diketuai oleh Azmin yang juga bekas timbalan presiden keluar parti menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan.

Pada pilihan raya umum 2018, PKR memenangi 47 kerusi Parlimen.

Langkah ini dilihat akan menguatkan lagi blok kerajaan sekiranya Dewan Rakyat bersidang semula.

Sementara itu, Muhyiddin dalam hantaran melalui Facebooknya berkata, beliau menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen berkenaan yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

“Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara.

Related posts

Leave a Comment