Keadilan kecam tindakan keluar parti

JOHOR BAHRU 28 Feb. – Wanita Keadilan Johor amat kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ketua Wanita Keadilan Johor Napsiah Khamis berkata, tindakan Ketua Cabang Tebrau itu sangat  tidak bertanggungjawab kepada amanah rakyat dan undi rakyat yang selama ini memilih parti itu di  Tebrau.

“Bertanding dan menang menggunakan logo dan lambang Keadilan dan rakyat juga memilih beliau disebabkan lambang Keadilan.  Pengkhianatan kepada undi rakyat ini adalah satu perkara yang paling hina,” kata Exco Wanita Keadilan Pusat itu.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook PKR, beliau berkata pengkhianatan itu menjadi satu di antara perbuatan tercela,  menodai nilai-nilai kesetiaan, juga menyebabkan kerosakan dan kerugian baik dari segi mental mahupun fizikal.

“Saya menyeru untuk semua pengundi supaya pada pilihan raya akan datang kita pastikan pemimpin dusta seperti ini ditewaskan,” katanya.

Semalam ketika timbul desas desus tindakan keluar parti, Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan mengingatkan ahli-ahli Parlimen PKR berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan semangat reformasi.

Katanya,  rakyat akan menilai setiap tindakan dan siap membalasnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Parti itu maklum bahawa wujud langkah-langkah terancang yang sedang diusaha pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari kalangan PKR.

“Ini sedang dilakukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan sama ada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC,” katanya.

Menurut beliau, hal  ini berlaku ketika Kerajaan sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen, dan dalam keadaan sidang Parlimen boleh diadakan sewaktu Darurat berkuatkuasa.

“ Maka Keadilan mengecam langkah terdesak untuk membuatkan Ahli-Ahli Parlimen Keadilan keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti Kerajaan, sama ada melalui ugutan mahupun habuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment