LGE didakwa 7, 10, 11 Ogos

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya malam ini, dipercayai berkaitan siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, bernilai RM6.3 bilion.

Kenderaan Toyota Vellfire putih yang dinaiki bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM pada kira-kira  9.10 malam.

Ahli Parlimen Bagan itu sebelum ini telah tiga kali dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurut sumber SPRM, beliau telah ditahan pada pukul 9.30 malam Khamis.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara bagi menuduh Guan Eng berhubung kes terowong dasar laut di Pulau Pihang pada pagi esok (7 Ogos) di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.

Selain itu, beliau juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula.

Pada Ahad 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada pukul  7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes berkenaan berada dalam fasa akhir, manakala Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pula dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, dalam masa terdekat.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco serta bekas exco kerajaan negeri, turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berkaitan projek mega itu.

Related posts

Leave a Comment