
ANWAR Ibrahim tidak menunggu keputusan pemilihan Amanah untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas kematian Salahuddin Ayub yang merupakan Timbalan Presiden Amanah.
Perdana Menteri pada 11 Disember lalu, kira-kira dua minggu menjelang pemilihan Amanah 23 Disember ini bukan sekadar mengisi kekosongan di KPDN sebaliknya melakukan rombakan khususnya melibatkan pimpinan UMNO, DAP dan PKR.
Akhirnya terisilah jawatan Kabinet kuota Amanah, yang kosong susulan kematian Salahuddin pada 23 Julai 2023. Bagaimanapun pengisian bukan di KPDN sebaliknya di Kementerian Kesihatan (KKM).
Pilihan tepat apabila Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad kembali ke jawatan yang pernah disandang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Tidak pasti sama ada Dr Dzulkefli antara lima nama yang dikemukakan oleh Amanah. Siapakah lima nama itu? Amanah ada sembilan Ahli Parlimen. Selain Mat Sabu dan Dr Dzulkefly, ada Naib Presiden Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka.
Nama Adly disebut-sebut tetapi apabila portfolio baharu diberi kepada Amanah, bukannya KPDN, maka pengalaman Dr Dzulkefly mengatasi nama-nama lain.
Justeru adakah pemilihan Dr Dzulkefly akan turut mempengaruhi pemilihan 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JPN) bagi sesi akan datang? Untuk menang sebagai salah seorang ahli JPN dijangka tidak ada masalah.
Bagaimanapun untuk lima jawatan utama agak mencabar iaitu Presiden yang kini disandang Mohamad manakala timbalan masih kosong sementara tiga penyandang Naib Presiden – Hasanuddin Mohd Yunus, Mahfuz Omar dan Dr Mujahid Yusof di samping dua Naib Presiden lantikan Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly.
Pemilihan jawatan utama bagaimanapun tidak ditentukan oleh 1,100 perwakilan sebaliknya sama seperti diilakukan DAP, pelantikan jawatan utama dilakukan oleh 27 Ahli JPN yang dipilih perwakilan.
Undi tertinggi dalam kalangan 27 ahli JPN juga belum menjamin seseorang itu dipilih pula sebagai Presiden, Timbalan atau Naib Presiden. Mungkin calon berkenaan boleh mendapat undi tertinggi dalam kalangan perwakilan tetapi kata pemutus akhirnya di tangan 27 atau 30 individu.
Tidak seperti parti politik lain yang berkempen untuk jawatan utama, pemimpin Amanah berkempen untuk berjaya memasuki dalam kumpulan 27. Bagaimanapun mereka yang berminat boleh sahaja menyatakan hasrat secara terbuka.
Setakat ini antara yang disebut-sebut menunjukkan minat memainkan peranan lebih besar dalam parti itu sekiranya memperoleh sokongan tertinggi adalah Dr Mujahid.
Berdasarkan ‘kempen’ tidak langsung, adakah sasaran Mujahid untuk jawatan No 1 sebagai Presiden atau No 2 sebagai Timbalan Presiden ? Sebelum ini beliau sudah menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti itu sekiranya memperoleh sokongan tertinggi. Maknanya melepasi Naib Presiden.
Seperti kata Mujahid kedudukan sebagai menteri bukan ‘tiket hijau’ atau kriteria utama seseorang itu dipilih menjadi calon presiden pada pemilihan. Maksudnya beliau boleh mengatasi Mat Sabu? Manakala ‘politik’ Dr Dzulkefly tidak begitu menyerlah berbanding komitmen kerjanya.
Pemilihan kali ini amat penting kerana barisan inilah yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 yang dijadualkan pada 2026. Segala persiapan atau persediaan perlu bermula sekarang.
Justeru barisan kepemimpinan ini khususnya’Top 5’ amat penting untuk mempersiapkan Amanah sebagai parti yang boleh diterima rakyat, bukannya terus dilihat sebagai parti yang mendapat kekuatan hasil hubungan istimewa atau keintiman dengan DAP.
Menjadi tanggungjawab besar 27 ahli jawatankuasa yang terpilih serta tiga wakil sayap Amanah untuk menentukan Top 5 ini benar-benar bersedia menghadapi PRU akan datang selepas keputusan mengecewakan pada PRU lalu.
Pada masa yang sama, mengikut perlembagaan Amanah, ini adalah penggal terakhir bagi Mohamad memegang jawatan Presiden. Adakah beliau akan terus diberi peranan itu atau direhatkan untuk memberi laluan kepada pelapis selepas lapan tahun penubuhan Amanah? Mungkin sebagai Penasihat Amanah.
Bersediakah 27 anggota JPN yang terpilih mengubah kedudukan Mat Sabu? Sesuatu yang sukar jika ramai yang bakal terpilih nanti ‘terhutang budi’ dengan Presiden. Mereka dilantik menduduki pelbagai jawatan walaupun tewas di gelanggang PRU.
Apa pun barisan pelapis perlu diketengahkan dalam pemilihan ini sesuai dengan hubungan atau kerjasama baharu yang terjalin dengan UMNO. Harus diingat bagaimana lantangnya Mat Sabu mengkritik UMNO ketika di ‘alam permusuhan’.
Mat Sabu pun baru-baru ini berkata, cukuplah apa yang berlaku sebelum ini malahan beliau mahu UMNO kembali kuat, perlu diperkukuhkan.
“Tidak pernah (sebelum ini) saya bercakap minta UMNO kuat. Tapi ini fakta supaya kerajaan dapat bertapak semula di Kelantan dan Terengganu khususnya kita perlu bekerja erat dan kuat,” katanya.
Maka, barisan pelapis yang kurang ‘sejarah hitam’ dengan UMNO mungkin dapat diterima dengan baik oleh parti terbesar orang Melayu itu.
Nnnn
1. Adakah akan berlaku perubahan kepemimpinan selepas Amanah menyambut ulang tahun kelapan penubuhannya tahun ini?
2 . Mohamad Sabu, Mujahid Yusof serta Hasanuddin Mohd Yunus (bawah kiri), Mahfuz Omar dan Adly Zahari antara barisan kepemimpinan utama sekarang.
3. Antara pemimpin yang dijangka mendapat tempat pada pemilihan kali ini (atas kiri) Dr Dzulkefli Ahmad, Aminolhuda Hassan dan Khaled Samad, serta Sany Hamzan, Suhaizan Kayat dan Azly Yusof (bawah kanan).
