18 kes buang bayi dalam tempoh 3 bulan

KUALA LUMPUR 6 Julai – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan 18 kes pembuangan bayi antara Januari hingga Mac lalu.

Timbalan Menteri KPWKM Lim Hui Ying, berkata angka itu membabitkan 10 kes di Selangor, manakala dua kes masing-masing di Sabah dan Pulau Pinang serta satu kes di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, sebanyak 72 kes sama direkodkan tahun lalu, selain semua bayi bagi kes dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam keadaan selamat.

Katanya, kementerian menerusi JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai pendekatan merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan intervensi bagi menangani isu terbabit.

Hui Ying memberitahu demikian ketika menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai statistik kes keguguran dan pembuangan bayi mengikut negeri serta tindakan menangani isu itu.

Beliau memberitahu, aspek pencegahan dilakukan JKM menerusi pelaksanaan program advokasi dan pendidikan masyarakat berkaitan tanggungjawab keibubapaan, institusi keluarga, perlindungan kanak-kanak serta kesedaran implikasi perundangan dan sosial akibat pembuangan bayi.

LPPKN melalui Program KafeTEEN pula terus memperkasa pengetahuan dan kesedaran remaja mengenai tingkah laku seksual berisiko serta Pendidikan Kesihatan Reproduktif.

Melalui program ini, remaja didedahkan mengenai amalan abstinen melalui teknik penolakan sebagai langkah mencegah kehamilan luar nikah, penyakit jangkitan seksual, eksploitasi pasangan serta gangguan emosi.

“Lebih 1 juta remaja menerima manfaat menerusi program ini, sejak 2006 hingga 2025,” katanya.

Mengenai aspek perlindungan, Hui Ying berkata, setiap bayi ditemui atau diselamatkan akan diberi perlindungan segera mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Nnn

Related posts

Leave a Comment