SEPANG 6 Julai – Pakej umrah jarak pendek iaitu sembilan hari tujuh malam pada harga serendah RM5,990 dijangka dapat membantu golongan bekerja yang tidak berpeluang mengambil cuti panjang untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) Ida Riswana Idris berkata, pakej itu sebagai alternatif kepada mereka yang ingin menunaikan umrah dalam tempoh singkat tanpa menjejaskan keselesaan sepanjang perjalanan.
Menurut beliau, pakej tersebut menggunakan Penerbangan Malaysia Airlines dengan penginapan empat malam di Makkah dan tiga malam di Madinah di hotel kategori jarak sederhana.
“Dengan harga ini, saya rasa ia amat berbaloi untuk mereka yang tidak dapat mengambil cuti panjang tetapi masih selesa menunaikan umrah dalam tempoh yang singkat,” katanya selepas majlis pelepasan kumpulan 91 jemaah umrah ke Tanah Suci di sini, malam semalam.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha Andalusia merancakkan lagi permintaan sempena musim umrah baharu yang bermula pada Muharam, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah.
Katanya, bagi musim umrah baharu sambutan juga amat menggalakkan apabila seramai 29,000 jemaah telah membuat pendaftaran setakat ini manakala musim lepas hampir 66,000 orang jemaah, melepasi sasaran yang ditetapkan syarikat.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pendaftaran itu didorong oleh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menunaikan ibadah umrah selain kepelbagaian pakej yang ditawarkan mengikut kemampuan bakal jemaah.
Di samping itu, trend menunaikan umrah kini turut berubah apabila semakin ramai golongan muda, usahawan dan keluarga memilih ibadah itu sebagai pengisian rohani, berbanding hanya menjadi pilihan warga emas seperti sebelum ini.
“Umrah bukan lagi hanya untuk warga emas, tetapi turut menjadi pilihan usahawan, golongan muda dan keluarga sebagai satu bentuk perjalanan yang menggabungkan ibadah, muhasabah diri serta mengeratkan silaturahim,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah atau bercuti kini berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik menerusi kempen Andalusia 7.7 Deals yang berlangsung sehingga esok, 7 Julai ini.
Menerusi kempen itu, pelanggan boleh membuat tempahan pakej Umrah dan pakej pelancongan dengan lebih mudah secara dalam talian melalui laman web rasmi Andalusia di www.umrahandalusia.com.
Semua tempahan yang dibuat sepanjang tempoh kempen melayakkan pelanggan menikmati diskaun istimewa dengan menggunakan kod promosi 77ATTSB2026 semasa pembayaran.
Pengguna berpeluang memperoleh potongan harga bernilai RM77 sehingga RM1,000 bergantung kepada pakej yang dipilih.
Selain penjimatan menarik, setiap tempahan yang berjaya turut melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan berupa lapan buah kereta berjenama untuk dimenangi.
Nnnn
