Trump kritik PM Britain

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengkritik Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang mengumumkan peletakan jawatan selepas pemimpin Parti Buruh itu gagal menguruskan dasar tenaga, imigresen dan hubungan dengan Washington.

Presiden Amerika Syarikat (AS) menyifatkan tindakan Starmer itu hanya  memburukkan dirinya sendiri.

“Britain membeli sebahagian besar tenaganya. Anda tahu dari mana? Norway. Anda tahu dari mana mereka memperoleh minyak? Laut Utara. Walhal Britain mempunyai bahagian Laut Utara yang jauh lebih besar, tetapi mereka tidak mahu menerokainya atas alasan alam sekitar.

Apa pun, saya fikir beliau seorang yang baik,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Pejabat Oval.

Trump yang sebelum ini pernah meramalkan pengunduran Starmer menerusi hantaran di platform Truth Social, berkata Starmer agak rapat dengannya, namun tidak cukup menyokong AS dalam isu berkaitan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan perang dengan Iran.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dilaporkan berselisih pendapat berhubung penggunaan pangkalan tentera Britain di Cyprus bagi melancarkan serangan ke atas Iran.

Ia apabila Trump menyuarakan kekecewaannya kerana Britain mengambil masa terlalu lama untuk meluluskan permintaan AS menggunakan pangkalan udara RAF Akrotiri bagi mengebom sasaran Iran.

“Beliau berkata kami tidak boleh menggunakan pulau itu untuk mendarat. Itu kali pertama perkara seperti itu berlaku. Saya mendoakan yang terbaik untuknya.

“Tetapi beliau mempunyai dua masalah utama iaitu tenaga dan imigresen serta jenayah. Namun tenaga dan imigresen adalah isu paling besar. Beliau benar-benar menjejaskan dirinya sendiri,” kata Trump yang menggelar keputusan awal dibuat Starmer adalah langkah buruk.

Starmer semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin Parti Buruh, namun kekal sebagai Perdana Menteri sepanjang proses peralihan kuasa yang teratur.

Keputusan itu dibuat selepas beliau berdepan tekanan berterusan daripada ahli Parlimen partinya serta mengalami kemerosotan pengaruh politik susulan keputusan mengecewakan dalam pilihan raya tempatan dan wilayah.

Related posts

Leave a Comment