Denmark gantung vaksin AstraZeneca

DENMARK mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung sementara penggunaan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca berikutan sebilangan pesakit dilaporkan mengalami masalah pembekuan darah.

Sebelum ini Austria menggantung penggunaan vaksin itu berikutan kesan yang sama  akibat suntikan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Denmark dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil berikutan laporan kes pembekuan darah yang serius dalam kalangan mereka yang disuntik vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Berikutan perkara ini, Badan Perubatan Eropah (EMA) telah menjalankan siasatan terhadap vaksin AstraZeneca.

“Juga terdapat satu laporan kematian selepas menerima dos suntikan vaksin itu di Denmark. Pada masa ini, tidak dapat disimpulkan sama ada wujud kaitan antara vaksin itu dengan pembekuan darah (blood clotting),” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, tidak dinyatakan lagi berapa jumlah sebenar masalah pembekuan darah itu berlaku dan apa puncanya.

Berikutan itu turut membuat keputusan sama adalah Iceland dan Norway.

Ia turut memberi kesan besar kepada saham AstraZeneca di pasaran London yang dilaporkan merosot 2.5 peratus pada Khamis.

Buat masa ini, University of Oxford tidak memberi sebarang maklum balas atau mengulas mengenai pengumuman itu.

Austria pada Isnin lalu mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

Empat negara Eropah lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourg juga menggantung penggunaan vaksin terbabit, yang turut dihantar ke 17 negara Eropah lain membabitkan satu juta suntikan.

Rabu lalu, pemerhati perubatan Eropah, EMA berkata, bukti awal menunjukkan kumpulan vaksin AstraZeneca yang digunakan di Austria kemungkinan bukan faktor yang menyebabkan kematian jururawat itu.

EMA memaklumkan, sehingga 9 Mac lalu, sebanyak 22 kes pembekuan darah dilaporkan dalam kalangan lebih tiga juta orang yang divaksin di Kawasan Ekonomi Eropah.

Related posts

Leave a Comment