Pas sangkal dakwaan Biro Politik Bersatu

SEPANG 26 Mei – Kenyataan Biro Politik Bersatu Pusat terhadap Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan adalah tidak tepat mengelirukan serta jelas berniat serong bertujuan mencemarkan kredibiliti parti itu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan tuduhan kononnya Pas tidak memberikan sebarang maklum balas sepanjang krisis berlaku adalah satu fitnah yang tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata, Pas masih menyimpan rekod komunikasi terperinci antara Setiausaha Agung Pas dengan Setiausaha Agung Bersatu, malah parti itu bersedia untuk mendedahkannya dalam platform yang lebih sesuai.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendedahkan hakikat yang tidak dinyatakan Bersatu adalah mesej Setiausaha Agung Bersatu kepada rakan sejawatnya dalam Pas pada 5 Mei lalu, iaitu hari kenyataan media dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Negeri Sembilan dibuat.

Mesej berkenaan hanya bertujuan memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik Bersatu Pusat yang mengubah pendirian, sekali gus bertentangan dengan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang dipersetujui bersama terlebih dahulu mengenai krisis di Negeri Sembilan.

Beliau turut mendakwa wujud fakta yang sengaja disembunyikan pihak tertentu berhubung tindakan Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu.

Berhubung dakwaan kononnya Presiden Pas sengaja tidak datang menghadap Raja Perlis pada 25 Oktober tahun lalu, Ahmad Fadhli menegaskan perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Beliau menyatakan bahawa Presiden Pas tidak pernah dititah untuk menghadap baginda pada tarikh berkenaan, mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis berlaku.

“Usahlah kegagalan mengurus organisasi kita akhirnya cuba dipindahkan kepada pihak lain demi menutup kelemahan sendiri,” katanya

Nnn

Related posts

Leave a Comment