200,000 dari Bersatu bersama Hamzah Zainudin?

SEPANG 25 Mei – Bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli parti itu sudah keluar atau dijangka meninggalkan Bersatu untuk menyertai ‘Reset’ yang dipimpin Hamzah Zainudin.

Beliau mendakwa penghijrahan besar-besaran ahli berlaku disebabkan budaya dalaman parti yang semakin mengecewakan akar umbi sekaligus menafikan dakwaan bahawa Hamzah menjadi punca perpecahan dalam parti berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa, ahli akan mula membenci apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad dalam mengambil tindakan.

Ini termasuk memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula, bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan serta memandang ringan isu rasuah.

Di samping itu, Abdul Rahim berkata, budaya memuja pemimpin secara melampau selain menganggap teguran terhadap parti sebagai satu bentuk pengkhianatan turut menjadi faktor utama ahli hilang keyakinan.

“Perjuangan parti untuk rakyat juga dilihat semakin terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.

“Saya berkata demikian kerana selepas hampir 50 tahun berada dalam dunia politik, saya sendiri merasakan Bersatu tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Penerangan Bersatu Melaka  Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan dakwaan Rahim tidak bersandarkan realiti akar umbi parti dan hanya memperlihatkan usaha terdesak beliau untuk kelihatan relevan dalam politik nasional.

Justeru, beliau meminta Rahim berhenti daripada terus berkhayal dan mengeluarkan kenyataan politik bersifat syok sendiri apabila mendakwa kononnya seramai 200,000 ahli Bersatu menyokong gerakan “Reset”.

“Dakwaan kononnya ratusan ribu ahli menyokong gerakan “Reset” hanyalah cubaan untuk mencipta persepsi palsu bahawa beliau masih mempunyai kekuatan politik.
Bersatu tidak akan runtuh hanya kerana beberapa individu keluar parti.

Parti ini telah melalui pelbagai cabaran jauh lebih besar sebelum ini dan terus berdiri kerana kekuatan ahli akar umbi serta keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hishamuddin, sejarah politik Rahim sendiri penuh dengan polemik dan kontroversi yang masih segar dalam ingatan masyarakat.

“Sebab itu kenyataan beliau hari ini tidak lagi membawa nilai moral atau kekuatan politik yang besar kepada rakyat. Sudah sampai waktunya Rahim menerima hakikat bahawa era beliau telah berlalu,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment