PUTRAJAYA 13 Mei – Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman, memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu hari ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan kontraknya secara rasmi semalam selepas 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata kredibiliti dan pengalaman Abdul Halim dalam bidang perundangan berupaya memberi nilai tambah kepada SPRM.
“Tahniah diucapkan atas pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.
Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman dalam jalur perundangan akan terus memberi nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran di platform sama, Shamsul Azri merakamkan penghargaan kepada Azam sepanjang 42 tahun perkhidmatannya dalam SPRM.
“Banyak kejayaan dan reformasi yang dilaksana dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul. Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya.
Abdul Halim dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982 dan kemudiannya menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang di University of Hull pada 1996.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982, berkhidmat dalam pelbagai jawatan selama 22 tahun.
Ini termasuk sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka serta hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, Georgetown dan Ampang.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara, selain menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya serta Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.
Beliau kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2009) dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru (2010) sebelum tempoh perkhidmatan panjangnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajibnya pada Mac 2023.
Nnnn
