RIYADH – Enam lapangan terbang Arab Saudi sudah bersiap sedia untuk menerima kedatangan jemaah haji dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H tahun ini.
Enam lapangan terbang antarabangsa utama yang ditetapkan oleh MATARAT Holding, adalah Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Lapangan Terbang Antarabangsa Taif dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Abdulmohsin bin Abdulaziz di Yanbu.
Di samping itu persiapan juga merangkumi pelan 13 terminal khas untuk jemaah haji serta lebih 22,000 petugas lelaki dan wanita bagi memastikan kelancaran prosedur dan pergerakan di lapangan terbang.
Ia turut merangkumi perkhidmatan khusus bagi memudahkan perjalanan, seperti perkhidmatan `Haji Tanpa Bagasi’ yang membolehkan daftar masuk bagasi dilakukan dari tempat penginapan, serta penghantaran awal botol air zamzam bagi mengurangkan beban perjalanan.
