LONDON: Pakatan vaksin global menjangkakan kekurangan vaksin kolera akan berlarutan sehingga tahun 2025 sekiranya wabak itu meningkat di seluruh dunia.
Perikatan Gavi, sebuah badan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada vaksinasi kanak-kanak, berkata pada masa ini terdapat dos yang mencukupi untuk memenuhi permintaan kecemasan tetapi bukan untuk kegunaan pencegahan.
Gavi berkata, 48 juta dos vaksin sudah digunakan dalam tempoh dua tahun lalu, 10 juta lebih banyak berbanding keseluruhan dekad sebelumnya. Setakat ini, hanya lapan juta daripada 18 juta dos yang diminta, disediakan pada 2023.
Bekalan akan bertambah baik menjelang 2026, apabila pengeluar sedia ada meningkat dan syarikat baharu memasuki pasaran, serta meminta perancangan yang lebih baik untuk memastikan vaksin digunakan di tempat yang paling diperlukan, termasuk untuk kempen pencegahan.
Berikutan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan kongsi beralih sementara menggunakan satu dos vaksin yang biasanya diberikan sebagai dua dos, tetapi dos itu kehabisan pada Disember lalu.
Baru-baru ini WHO memberi amaran bahawa prospek jangka pendek untuk mengawal penyakit itu tidak memberangsangkan.
Dilaporkan kes taun dan kematian meningkat tahun lalu apabila penyakit maut itu merebak ke wilayah baharu, khususnya zon konflik dan kawasan yang mempunyai tahap kemiskinan yang tinggi.
Taun disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar dan sekiranya serius sehingga menyebabkan cirit-birit akut, ia boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.
Justeru akses kepada air yang selamat dan sanitasi adalah penting untuk menghentikan penyakit serta vaksinasi dan rawatan yang cepat.
Pada taklimat Jumaat lalu, WHO berkata 24 negara melaporkan wabak setakat tahun ini, berbanding 15 tahun lalu manakala kadar kematian juga lebih tinggi daripada jangkaan.
