WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang merujuk Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’ menegaskan Iran perlu membuka semula laluan air penting itu bagi trafik minyak sebagai syarat perjanjian damai.
Kenyataan itu muncul ketika beliau sebelum ini turut menamakan beberapa bangunan di Washington sempena dirinya sepanjang penggal kedua memegang jawatan presiden.
Trump juga mendakwa Iran bersedia untuk mencapai perjanjian damai walaupun dinafikan Iran dan berkeras bahawa rundingan sedang berjalan bagi menamatkan konflik yang berlarutan hampir sebulan itu.
Beliau mendakwa, Iran kini dalam keadaan terdesak selain menegaskan kepimpinan, angkatan laut, tentera udara serta program nuklear negara itu mengalami kerosakan besar.
Sekarang kami sedang berunding dan ia akan menjadi lebih baik jika sesuatu dapat dicapai, tetapi mereka perlu membukanya (laluan Selat Hormuz).
“Mereka perlu membuka Selat Trump, maksud saya Hormuz. Maafkan saya, ia satu kesilapan,” katanya kepada forum pelaburan FII Priority yang disokong Arab Saudi di Miami.
Beliau mengakui kenyataan itu akan menjadi perhatian media dan mendakwa tiada perkara yang berlaku secara kebetulan bagi dirinya.
Trump turut menyentuh keputusannya sebelum ini untuk menamakan semula Teluk Mexico sebagai ‘Teluk Amerika’ selepas kembali memegang kuasa.
Kelmarin, dalam mesyuarat Kabinet, beliau berkata, untuk mengambil alih minyak Iran adalah satu pilihan, seperti yang didakwa pernah dilakukan AS terhadap Venezuela, walaupun perang masih berlarutan.
Trump sebelum ini turut membuat kenyataan bersifat sindiran sebelum menamakan semula pusat seni Kennedy di Washington sebagai ‘Trump-Kennedy Center’.
Selat Hormuz sebelum ini dibuka kepada pelayaran antarabangsa, namun laluan sempit itu kini hampir lumpuh akibat konflik, sekali gus mencetuskan lonjakan harga tenaga global.
Laluan yang lazimnya mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia kini hanya terhad kepada kapal milik negara yang tidak bermusuhan dengan Iran.
Nnnn
