Keuntungan Petronas bukan untuk subsidi pukal

SEPANG 23 Mac – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, keuntungan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dilihat sebagai kekayaan strategik negara, bukannya dibelanjakan untuk subsidi bahan api secara pukal.

Justeru wakil rakyat DAP itu menyifatkan cadangan Pengerusi Urimai, P Ramasamy untuk memperluaskan subsidi bahan api menggunakan keuntungan luar jangka Petronas sebagai tidak mampan serta tidak bertanggungjawab dari sudut fiskal.

Sebaliknya beliau berkata, Malaysia wajar mencontohi pendekatan Norway yang mengurus hasil minyak menerusi dana kekayaan berdaulatnya secara berdisiplin, di mana sebahagian besar hasil disimpan dan dilaburkan di peringkat global.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pembinaan kekayaan jangka panjang, kestabilan fiskal serta keupayaan menghadapi turun naik pasaran komoditi.

Zhemin menerusi Facebooknya berkata, perbelanjaan subsidi bahan api kini meningkat ketara daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada RM3.2 bilion, bersamaan kira-kira RM38 bilion setahun.

“Ini merupakan komitmen kewangan yang besar dan perlu dinilai dengan teliti berbanding keutamaan lain seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur serta daya tahan ekonomi negara,” tulisnya.

Beliau berkata, walaupun kenaikan harga minyak global mampu meningkatkan hasil Petronas, tambahan itu tidak mencukupi untuk menyokong peluasan subsidi secara besar-besaran.

Menurutnya, pada paras harga sekitar AS$100 setong, Petronas dianggarkan memperoleh tambahan antara RM25 bilion hingga RM35 bilion setahun, namun jumlah itu hanya mencukupi untuk menampung subsidi sedia ada.

Katanya , jika diperluaskan secara pukal, ia akan memberi tekanan besar kepada kewangan negara.

Keadaan itu bermakna tiada ruang untuk simpanan fiskal atau pelaburan semula, melemahkan keupayaan negara menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga pada masa depan.

Menurut beliau, sekiranya harga minyak meningkat kepada AS$120 setong, subsidi bahan api boleh mencecah antara RM50 bilion hingga RM70 bilion setahun, sedangkan tambahan keuntungan hanya sekitar RM40 bilion hingga RM55 bilion.

Katanya, jika harga mencecah AS$150 setong, perbelanjaan subsidi boleh melebihi RM80 bilion, jauh mengatasi peningkatan hasil minyak.

“Ini menunjukkan harga minyak tinggi bukan memperkukuh kedudukan fiskal negara, sebaliknya menambah beban,” katanya.

Beliau juga menegaskan Malaysia masih merupakan pengimport bersih minyak, dengan sebahagian besar bekalan melalui Selat Hormuz, menyebabkan kenaikan harga global memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.

Beliau berkata, keadaan itu meningkatkan kos perniagaan, memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta menambah beban kos sara hidup rakyat.

Tegasnya, subsidi pukal bersifat regresif kerana lebih memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih bahan api, berbanding golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, peluasan subsidi secara menyeluruh akan mengurangkan kecekapan perbelanjaan awam dan menyalurkan sumber terhad kepada pihak yang kurang memerlukan.

“Penggunaan keuntungan Petronas secara berlebihan untuk perbelanjaan berulang juga boleh menjejaskan keupayaan pelaburan, kapasiti pengeluaran masa depan dan nilai jangka panjang syarikat itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengekalkan pendekatan subsidi bersasar dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di samping memastikan disiplin fiskal terus dipelihara.

Katanya, Malaysia perlu mengimbangi keperluan bantuan segera dengan kestabilan jangka panjang, dan ini memerlukan dasar yang teliti serta berdisiplin, bukan langkah populis jangka pendek yang boleh menimbulkan cabaran lebih besar pada masa depan.

Related posts

Leave a Comment