ETS alami kelewatan dua jam

KUALA LUMPUR 23 Mac – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) EP9130 dari KL Sentral ke Butterworth dijangka mengalami kelewatan kira-kira 157 minit daripada jadual asal susulan gangguan teknikal di Rasa, Hulu Selangor.

Berikutan gangguan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, tren berkenaan yang berlepas dari KL Sentral pada pukul 1.40 tengah hari dijangka tiba di Stesen Butterworth pada pukul 8.22 malam ini berbanding jadual asal 5.45 petang.

Menurut kenyataan itu, gangguan adalah akibat masalah teknikal di stesen Rasa berlaku pada jam 3.02 petang tadi.

KTMB memaklumkan berikutan gangguan itu, perkhidmatan tren Komuter serta ETS di laluan sama turut mengalami kelewatan sekitar 15 minit berikutan penggunaan satu landasan.

“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Terima kasih atas perhatian anda,” menurut kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment