Kali ke sembilan Finland paling bahagia

KALI kesembilan berturut, turut, Finland dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia.

Laporan Kebahagiaan Dunia 2026, yang dikeluarkan sempena Hari Kebahagiaan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan negara-negara Nordic seperti Finland terus menduduki tangga teratas.

Menurut laporan itu, tahap kesejahteraan golongan muda di beberapa negara berbahasa Inggeris semakin menurun, terutama dalam kalangan remaja perempuan yang dikaitkan sebahagiannya dengan penggunaan media sosial yang berlebihan.


Sebaliknya, negara yang dilanda perang dan ketidakstabilan berada di kedudukan paling bawah.

Kajian juga mendapati kepuasan hidup dalam kalangan individu bawah 25 tahun di negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand semakin merosot.

Dalam tempoh 10 tahun, penilaian kehidupan mereka menurun hampir satu mata dalam skala 0 hingga 10, walaupun purata global bagi golongan muda sebenarnya meningkat.

Penggunaan media sosial secara berlebihan dikenal pasti sebagai antara punca penurunan kesejahteraan ini, dengan kesan yang lebih ketara dalam kalangan remaja perempuan.

Satu kajian besar melibatkan remaja berusia 15 tahun di hampir 50 negara mendapati penggunaan media sosial yang tinggi berkait dengan tahap kesejahteraan yang lebih rendah.

Namun begitu, kesannya berbeza-beza bergantung kepada jenis platform, cara penggunaan, serta faktor individu seperti jantina dan latar belakang sosioekonomi.

Ketika ini banyak kerajaan sedang mempertimbangkan langkah lebih tegas untuk melindungi kanak-kanak di alam dalam talian.

Related posts

Leave a Comment