KUALA LUMPUR 14 Mac – Ahli Parlimen Pas akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya hari ini yang turut membincangkan pelantikan baharu.
Bagaimanapun nama Ahli Parlimen yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu itu hanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini.
“Kita ada satu dua proses lagi di peringkat parti. Insya-Allah akan ada Ketua Pembangkang baharu pada sidang Parlimen akan datang. Selepas ini akan dimaklumkan kepada Tan Sri Speaker mengenai nama Ketua Pembangkang.
Hamzah masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang setakat ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di sini.
Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau; serta Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP), P Punithan.
Mesyuarat diadakan di bangunan Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dihadiri oleh semua Ahli Majlis Tertinggi PN.
Ahmad Samsuri berkata, Pas akan mengadakan sesi libat urus serta perbincangan bagi mencapai konsensus mengenai calon yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu menggantikan Mohamed Azmin Ali.
Berikut adalah senarai portfolio Majlis Tertinggi PN yang telah dibentuk:-
_________
PENGERUSI:
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
TIMBALAN-TIMBALAN PENGERUSI:
1. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin
2. Datuk Dr Dominic Lau Hoei Chai
3. Punithan Paramsiven
4. Tuan Ibrahim Tuan Man
SETIAUSAHA AGUNG:
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
TIMBALAN-TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Wong Chia Zen
Datuk Sivakumar Krishnan
BENDAHARI AGUNG:
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
KETUA PENERANGAN:
Tan Sri Annuar Musa
PENGARAH PILIHAN RAYA:
Datuk Dr Radzi Jidin
KETUA WANITA:
Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohammed Radzi
KETUA PEMUDA:
Afnan Hamimi Taib Azamudden
PEGAWAI AWAM/SETIAUSAHA EKSEKUTIF:
Zaidy Abdul Talib
