WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran selepas mengetahui bahawa Israel merancang serangan dan bimbang Tehran akan membalas terhadap anggota tentera AS, kata Setiausaha Negara, Marco Rubio.
Beliau berkata, AS tahu tindakan Israel itu akan mencetuskan serangan terhadap pasukan Amerika.
“Kami tahu bahawa jika kami tidak bertindak dahulu sebelum mereka melancarkan serangan itu, kami akan menanggung korban yang lebih besar,” kata Rubio kepada wartawan.
Rubio mendakwa, Iran telah mengarahkan komander lapangan untuk bertindak balas secara automatik terhadap pasukan AS jika diserang.
“Jika kami hanya menunggu serangan itu datang sebelum bertindak balas, kami akan mengalami korban jauh lebih tinggi. Jadi presiden membuat keputusan yang sangat bijak” untuk menyerang bersama Israel, “ kata Rubio.
Menurut Robio, AS tidak akan hanya duduk menunggu untuk dipukul dan jika Iran menyerang pasukan AS terlebih dahulu, “kita semua di sini akan ditanya mengapa kita sudah tahu tetapi tidak bertindak.”
Wakil Joaquin Castro, seorang Demokrat berkata, kenyataan Rubio menunjukkan Israel “meletakkan pasukan AS dalam bahaya dengan berkeras mahu menyerang Iran.”
“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh Presiden dan tidak boleh diterima bagi negara yang menggelar dirinya sekutu kami,” tulis Castro di X.
Rubio berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump sememangnya percaya serangan ke atas Iran perlu dilakukan, tanpa mengira bagaimana detiknya tercetus.
“Kami berharap rakyat Iran dapat menumbangkan kerajaan ini dan membina masa depan baharu untuk negara mereka. Itu adalah sesuatu yang kami mahu lihat,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, objektif misi ini ialah memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik dan keupayaan tentera laut merek.
